Thursday 4 October 2012

Koleksi sajak

HATI SEORANG GURU
 
Jika waktu tidak mencemburui kita
Kami ingin terus di sisi kamu
Melihat kamu membaca dan menulis
Melihat kamu terkinja-kinja suka
Melihat kamu petah berkata-kata
Melihat asuhan didik kami berjaya

                             Jika ada kudrat dan daya
Kami ingin menjadi pendengar cerita
Kami ingin menjadi peneman setia
Berkongsi segala suka dan duka
Menyapu setiap butiran air mata

Jika tiada kasih dan cinta
Tidak kami jerkah dan bertanya
Lewat hantar dan malas berusaha
Bermain tidak ingatkan dunia
Melanggar disiplin dan tatasusila
Hingga kami menjadi marah

Wahai anak didik semua
Jika melihat hati kami
Pasti tertulis segala-galanya
Yang pasti kamu tidak percaya
Hati seorang guru
Hati insan biasa

Nukilan :
Pn Suriati bt Ahmad
Sk.Tunku Mahmood(1),Kluang



GURU OH GURU
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Sajak : Dadah Durjana

Dadah
Tika dulu kau bagai penawar
Mengukir sejarah di bidang perubatan
Penyelamat nyawa tika kesakitan
Namun kini
Martabatmu begitu hina
Hadirmu bak najis semata
Kau hanyalah pemusnah
Generasi dunia
Dadah
Kau umpama racun yang mengalir
Dalam pembuluh darah
Bagai jarum yang ditusuk hingga ke tulang
Perit..
Pedih..
Dadah
Kau durjana
Hadirmu membawa derita
Khayalan sementara cuma
Imaginasi dusta di bumi nyata
Membawa kesedihan
Mengundang derita sengsara
Dan mengusung
Kematian..
Nukilan bersama..Md. Rz & Adik-Beradik..07.